Hampir 300 Peserta Menghadiri Program Vendor Day SESB 2024

KOTA KINABALU: Program Vendor Day SESB 2024 berjaya menarik penyertaan hampir 300 peserta di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, hari ini.

Program yang berlangsung selama dua hari ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan para pembekal dalam rantaian bekalan tenaga di Sabah.

Pengerusi SESB, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, dalam ucapannya menjelaskan bahawa program ini bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan hubungan perniagaan, tetapi juga memenuhi keperluan dan obligasi Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS), yang kini menjadi sebahagian penting dalam pengurusan SESB.

“Sejak Ogos tahun lalu, SESB telah memperoleh sijil ABMS, di mana kami amat menekankan integriti dalam setiap urusan yang dijalankan.

“Di Sabah, SESB merupakan antara tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) teratas yang disahkan dengan pensijilan MS ISO 37001:2016 ABMS oleh SIRIM QAS International,” ujar Madius ketika merasmikan program tersebut.

Beliau turut menyentuh beberapa cabaran yang dihadapi oleh SESB, terutamanya kelewatan dalam penyiapan projek-projek utama yang melibatkan infrastruktur bekalan elektrik.

“Kita tidak mahu mengulangi amalan di mana sebelum ini banyak projek tergendala atau masa pembinaannya terpaksa ditangguh. Kita mesti mempunyai budaya kerja yang berintegriti.

“Kelewatan ini memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan dan kebolehan SESB untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat,” katanya.

Ahli Parlimen Tuaran itu juga menambah, melalui program ini, SESB berharap dapat memperkukuh jalinan kerjasama yang strategik dan memupuk persefahaman dengan para vendor.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd. Yaakob Hj. Jaafar, Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Chek Zainuddin Chek Jusoh, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Tuan Pkpj Alexander S. Kunghi dan Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah, Yaras Yusuf.