WANITA UPKO : BAB PEMBENTUKAN MALAYSIA PERLU ADA DALAM BUKU SEJARAH SEKOLAH

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa kerajaan supaya satu bab khas mengenai pembentukan Malaysia diselitkan dalam buku sejarah sekolah di negara ini.

Ketuanya, Datin Juliana Jani dalam satu kenyataan semalam berkata, gesaan itu dibuat selepas seorang penggubal undang-undang daripada UMNO mencetuskan kegusaran di kalangan rakyat Sabah apabila membuat kenyataan bahawa Malaysia adalah Tanah Melayu.

“Adalah lebih baik satu bab mengenai pembentukan Malaysia diwujudkan dalam buku sejarah sekolah supaya fakta benar dapat disajikan.

“Oleh itu, kami menggesa pemimpin dari Sabah dan Sarawak sama-sama mendesak untuk menuntut agar sejarah pembentukan Malaysia diutamakan dalam sukatan mata pelajaran pendidikan negara ini di semua peringkat,” katanya.

Juliana berkata, dengan adanya satu bab mengenai pembentukan Malaysia dalam buku sejarah di sekolah, ia akan dapat memperbaiki semua maklumat sejarah yang salah dan menyesatkan dalam bab-bab tertentu yang ada dalam buku sejarah pada masa ini.

“Misalnya, buku sejarah yang ada ketika ini menyatakan bahawa Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tetapi sebenarnya tarikh itu adalah tarikh Malaya merdeka. Malaysia hanya wujud pada 16 September 1963,” katanya.

Beliau berkata, mempelajari sejarah mengenai pembentukan Malaysia dengan lebih terperinci serta merujuk kepada fakta-fakta Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan MA63 akan menghasilkan lebih ramai ahli politik yang inklusif.

Mungkin disebabkan kurang faham dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi punca Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat kenyataan dengan mendakwa Malaysia adalah Tanah Melayu.

“Tidak ada lagi kenyataan yang salah fakta seperti yang dikeluarkan oleh MP Pasir Salak,” katanya lagi.

Juliana turut berkata, Wanita UPKO terkejut dengan kenyataan Ahli Parlimen terbabit sama ada ia dinyatakan secara sengaja atau tidak, sebab ia seolah-olah memaksakan keunggulan sesuatu kaum tertentu dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

“Adakah MP berkenaan bermaksud bahawa Tanah Melayu menyamar sebagai Malaysia?

“Dengan kenyataan seperti ‘suka atau tidak, kita mesti menerima bahawa negara ini adalah bumi Melayu…” seolah-olah MP itu mahu memaksa Sabah dan Sarawak untuk menerima yang dua negeri ini bukan sebahagian daripada Malaysia.

“Ini merugikan pembangunan negara,” katanya yang turut menyokong penuh kenyataan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, yang membantah kenyataan tidak adil yang dibuat Tajuddin terbabit.

“Dengan keluasan tanah yang lebih besar, Sabah dan Sarawak seharusnya menjadi tanah besar Malaysia dan tidak seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Pasir Salak,” tambah beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *