HARAP LEBIH RAMAI CINA, INDIA SERTAI POLIS

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap akan lebih ramai kaum Cina dan India menyertai pasukan keselamatan negara itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, upacara perbarisan tamat latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Siri 8/2019 hari ini seramai 248 pelatih dengan pecahan 90 pelatih dari Semenanjung, 130 pelatih dari Sabah dan 28 pelatih dari Sarawak.

“Daripada jumlah itu melayu seramai 90 orang, lain-lain bumiputera seramai 154 manakala Cina dan India masing-masing hanya dua orang.

“Jadi di sini kita tengok penyertaan dikalangan masyarakat Cina dan India begitu sedikit sekali. Jadi kita perlukan lebih ramai daripada mereka menyertai pasukan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Bilangan 24, Siri 8/2019 di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) PDRM Bukit Aman, Datuk Nerita Yaacob dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti IPK Sabah, Datuk Ahmad Fadzillah Mohamed mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

Noor Azam berkata, negara yang memiliki komposisi penduduk yang berbilang kaum memerlukan pembabitkan mereka dalam pasukan keselamatan.

“Kita perlukan penyertaan mereka (Cina dan India) lebih ramai. Ini kerana empat pelatih daripada Cina dan India dalam PLAK Siri 8/2019 hari ini terlalu kecil.

“Oleh itu, mereka yang berminat untuk memohon menjadi anggota polis amat digalakkan bagi menyertai pasukan polis,” katanya.

Mengulas mengenai upacara itu, beliau berkata mengikut pecahan juga, 134 pelatih dari Sabah, Sarawak 28 pelatih dan Semenanjung seramai 86 pelatih.

“Semua mereka mula menjalani latihan asas Konstabel di Pusat Latihan Polis Kota Kinabalu ini, bermula pada 8 September 2019 lalu dan tamat pada hari ini yang memakan masa selama enam bulan.

“Semua mereka ini akan ditempatkan di kontinjen-kontinjen yang sudah ditetapkan. Diharap semua pelatih-pelatih ini dapat berkhidmat dengan penuh profesional agar persepsi masyarakat terhadap polis sentiasa positif sekali gus menambahkan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti polis,” katanya.