Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau hari ini menafikan sekeras-kerasnya tentang sebuah berita yang mengaitkan nama beliau akan berpindah sokongan kepada Pakatan Nasional (PN).
Katanya, berita palsu ini sengaja dibuat oleh pihak tertentu dengan harapan untuk mewujudkan ketidakstabilan dalam kalangan para pemimpin parti pembangkang.
“Ini adalah usaha-usaha yang terdesak daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. Saya dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan yang kononnya saya akan menyertai PN.
“Saya menyeru kepada semua pihak yang sengaja mewujudkan cerita yang tidak benar dan berunsur fitnah ini untuk menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui FB Live di laman facebook rasminya sebentar tadi.
Menurut Madius, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya khabar angin dan fitnah ke atasnya masih berterusan.
“Saya berharap penjelasan saya ini dapat menjernihkan keadaan daripada berita palsu yang sengaja disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal menyiarkan berita bahawa terdapat desas desus yang mengatakan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu sebagai antara Ahli Parlimen Pembangkang di Sabah yang berpindah sokongan kepada PN dalam tempoh terdekat.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius