Hilang penglihatan sejak lahir tidak halang graduan terima segulung ijazah

Oleh: Nurfatija Fadhzatul Jamil

KOTA KINABALU, 27 JUN – Mengalami masalah penglihatan sejak lahir tidak menghalang seorang graduan Orang Kurang Upaya (OKU), Ahar Tabe meraih Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Sosiologi Dan Anthropologi Sosial) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Berasal dari Tawau, Sabah, Ahar merupakan salah seorang graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23 pada 25-27 Jun 2022.

Menurutnya, pelbagai cabaran dihadapi akibat kekurangan yang dialami.

“Tidak dinafikan, setiap perkara yang dilakukan memerlukan mata untuk melihat, justeru, ia memerlukan untuk saya sentiasa berfikiran kreatif.

“Kemajuan teknologi yang sekarang ini juga sedikit sebanyak mampu membantu golongan OKU seperti kami mendepani cabaran yang dihadap,” katanya ketika ditemui media di sini.

Ahar berkata, kemudahan yang disediakan UMS untuk golongan OKU turut banyak membantu golongan yang senasib dengannya.

“UMS menyediakan pengangkutan khas kepada pelajar OKU, kami hanya menghubungi bas tersebut dan dihantar untuk pergi ke kelas”

“Baru-baru ini UMS juga telah mewujudkan Pusat Pengurusan OKU dan mereka akan bertanggungjawab dalam menguruskan hal-hal berkaitan OKU.

“Saya rasa agak gembira kerana dapat sampai ke tahap ini, walaupun banyak cabaran dalam tempoh saya belajar dengan pandemik Covid-19 dan sebagainya, namun saya dapat lalui semuanya dengan baik,” jelasnya.

Ahar, anak kelima daripada tujuh orang adik-beradik pada ketika ini, sedang menjalani latihan pekerjaan selama enam bulan bagi jawatan rekomendasi konsultan di salah sebuah syarikat tempatan.