Hujan lebat awal pagi tadi menyebabkan Penampang genap enam kali banjir ini tahun

Hujan lebat serta ribut berterusan sejak jam 2 pagi semalam menyebabkan Penampang sekali lagi digenangi banjir kilat menjumlahkan enam kejadian sama untuk tahun ini.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan semalam berkata keadaan hujan itu juga menyebabkan sistem perparitan dipenuhi air seterusnya menggenangi tujuh kawasan termasuk perkampungan di daerah ini.

“Antara kawasan terjejas termasuklah Kampung Kobusak, Sugud, Kibabaig, Mogonibung, Kohizan serta Millenium Height dan Taman Landmark.

“Empat laluan utama iaitu Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Sugud, Jalan Kolopis dan Bulatan Bundusan juga terjejas,” katanya.

Beliau berkata bacaan sungai Moyog kini pada bacaan paras amaran iaitu 8.82 meter mendekati paras bahaya iaitu 9.0 meter.

“Keadaan banjir adalah terkawal dan setakat ini tiada mangsa memerlukan perpindahan ke pusat pemindahan.

“Orang ramai juga diminta sentiasa peka dan berhati-hati dengan keadaan cuaca semasa berikutan kita akan menghadapi peralihan monsun timur laut yang dijangka lebih buruk,” katanya. – Utusan Borneo