Ini hari Sabah ada 184 kes COVID-19 dan dua kluster baru

PELABUHAN KLANG 10 DISEMBER 2020. Petugas kesihatan melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja warga asing di kawasan perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing. STR/FAIZ ANUAR

Sabah hari ini mencatatkan 184 kes positif baharu COVID-19 dengan dua kluster baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Taman Deluxe melibatkan dua buah daerah iaitu Kota Kinabalu dan Semporna dengan sebanyak 12 kes.

“Kluster Kampung Padawan turut melibatkan dua buah daerah iaitu Papar dan Kota Kinabalu dengan sebanyak 10 kes,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Tawau mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu sebanyak 37 kes, diikuti Kalabakan sebanyak 35 kes.

Katanya, daerah lain seperti Kota Kinabalu sebanyak 25 kes, Papar (23 kes), Lahad Datu (16 kes), Kunak (11), Penampang (11), Putatan (7 kes), Sandakan, Semporna, Kuala Penyu dan Tenom masing-masing 4 kes. Tuaran mencatatkan 2 kes dan Beaufort satu kes.

Sementara itu katanya, daerah seperti Beluran , Telupid , Tongod, Kinabatangan, Kudat,Pitas,
Kota Marudu, Kota Belud, Ranau, Sipitang, Nabawan, Keningau dan Tambunan tidak mencatatkan sebarang kes. – Utusan Borneo