iPay88 sahkan insiden keselamatan siber, jejas data kad pengguna

PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian iPay88 mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber yang mungkin telah menjejaskan data kad pengguna.

Dalam satu kenyataan, iPay88 berkata sejak 31 Mei lalu, mereka telah menggunakan pakar keselamatan siber bagi membendung isu tersebut.

Firma e-dagang itu berkata siasatan sedang dijalankan dan mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta pihak lain yang berkaitan berhubung pelanggaran keselamatan itu.

Bagaimanapun Ipay88 tidak menyatakan bila pelanggaran keselamatan dipercayai berlaku.

“Proses penyekatan berjaya diselesaikan dan tiada lagi aktiviti mencurigakan dikesan sejak 20 Julai.

“Bagi memastikan keselamatan data kad berterusan, kami telah melaksanakan pelbagai langkah dan kawalan baharu untuk mengukuhkan keselamatan sistem terhadap sebarang insiden selanjutnya,” katanya.

Syarikat itu berkata rakan kongsi institusi kewangannya sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini, dan perkembangan selanjutnya berhubung insiden itu akan dimaklumkan kelak.