Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menerima sebanyak 36 laporan membabitkan kes jenayah siber bermula 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, semua kes yang diterima itu membabitkan kerugian mencecah RM111,999 berdasarkan kepada laporan yang diterima.
Katanya, semua kes berkenaan diterima dan dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Kota Belud yang berjaya mengesan palbagai modus operandi yang digunakan penjenayah siber.
“Antara yang dikesan membabitkan jenayah ini ialah penipuan beli barang atas talian, pinjaman wang yang tidak wujud di internet dan Macau Scam.
“Malah ada juga laporan yang diterima menggunakam taktik menyamar sebagai rakan atau kawan menerusi aplikasi ‘Whatsapp’ untuk meminjam duit daripada mangsa jenayah siber,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sahimi berkata, berikutan peningkatan kes penipuan jenayah siber itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan berhubung jenayah siber ini boleh menghubungi BSJK IPD Kota Belud untuk penjelasan lebih lanjut. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ