Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini, meneruskan bantuan bakul makanan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19, hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, seramai 20 isi rumah sudah mendapat bantuan bakul makanan sejak pelaksanaan Op Bantu secara serentak semalam.
Katanya, IPD Penampang akan meneruskan program ini dari semasa ke semasa kepada pihak yang dikenalpasti berdasarkan maklumat daripada masyarakat setempat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Berdasarkan maklumat yang diterima, kita akan membuat penilaian dan menyalurkan bantuan seperti mana dikehendaki. Kita percaya kebanyakan mereka terjejas sepanjang pandemik Covid-19 ini.
“Dan kita lihat sebentar tadi, satu keluarga menyatakan suaminya diberhentikan kerja sejak 3 bulan lalu dan mempunyai 4 orang anak.
“Mereka sememangnya sangat memerlukan bantuan daripada inisiatif ini sebagai survival untuk meneruskan kehidupan sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Mohd Haris berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan menerusi sumbangan tabung Majid Al-Fattah IPD Penampang kepada masyarakat memerlukan di daerah ini.
Katanya, IPD Penampang juga akan menjadi pengantara untuk mengumpulkan sumbangan warga IPD Penampang ini sebelum diedarkan kepada pihak yang memerlukan bantuan. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ