Oleh Billy Joe Dominic
PENAMPANG: Pergerakan Pemuda UPKO Penampang mengalu-alukan keprihatinan rakyat Sabah berhubung pemuktamadan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan di Sabah sepertimana Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan yang juga harus dibaca bersama dengan beberapa provisi lain dalam perlembagaan.
Umum sudah mengetahui Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Fadillah Yusof semasa bersidang pada 18 Julai 2023 telah menetapkan tempoh masa setahun bagi pemuktamadan mekanisme pembayaran khas tersebut, iaitu sehingga 18 Julai 2024.
Jawatankuasa Teknikal MA63 telah bersidang pada 28 Mei 2024 tahun ini dan sehingga mesyuarat ini diadakan Kerajaan Negeri Sabah belum mengemukakan tuntutan atau cadangan mekanisme. Kerajaan Negeri Sabah hanya mengemukakan tuntutan pada 18 Jun 2024, berbanding dengan Kerajaan Negeri Sarawak yang telah mengemukakan tuntutan pada bulan Februari 2024.
Kerajaan Negeri Sabah juga menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi membincangkan perkara berkaitan autonomi dalam bidang pendidikan dan kesihatan berbanding dengan Kerajaan Negeri Sarawak yang telah bersidang dan berjaya menyelesaiakan beberapa tuntutan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Tenikal bersidang.
Kelewatan menghantar tuntutan menyebabkan Jawatankuasa Kerja berkaitan tuntutan 40 peratus tersebut tidak dapat bersidang dan juga tidak dapat dibincang dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal.
Semasa mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 bermesyuarat pada 28 Mei tersebut, ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan turut hadir dan menyatakan Kerajaan Negeri hanya dapat menghantar tuntutan atau cadangan mekanisme pada bulan Jun.
Kerajaan Negeri Sabah mungkin mempunyai sebab tersendiri berkenaan kelewatan tersebut termasuk penangguhan mesyuarat Jawatankuasa Kerja berkenaan autonomi pendidikan dan kesihatan. Sebaik-baiknya Kerajaan Negeri juga memberi penjelasan.
Di peringkat UPKO, parti kami telah mengadakan perbincangan meja bulat mengenai tuntutan dan cadangan mekanisme pembayaran 40 peratus pada 19 Disember 2023 melibatkan kehadiran antaranya tiga mantan Presiden Sabah Law Society. Parti kami melalui kunjungan hormat diketuai Presiden, Datuk Ewon Benedick mengemukakan syor mekanisme pembayaran 40 peratus ini kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 9 Januari 2024.
UPKO telah mengambil semua langkah progresif dan proaktif untuk menjayakan aspirasi rakyat Sabah mengenai tuntutan 40 peratus ini. Bagaimanapun, tuntutan ini harus dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan mengikut struktur perundingan sedia ada di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, tuntutan tersebut harus dibincang dalam Jawatankuasa Kerja sebelum diangkat ke Jawatankuasa Teknikal MA63. Sekiranya masih belum selesai, maka tuntutan itu akan dibawa ke Majlis Khas Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick sememangnya sudah bersedia menyokong segala tuntutan oleh Kerajaan Negeri Sabah, malangnya sehingga 28 Mei 2024 iaitu semasa Jawatankuasa Teknikal MA63 bersidang, Kerajaan Negeri Sabah belum mengemukakan tuntutan.
*Penulis ialah Ketua Pergerakan Pemuda UPKO Penampang
More Stories
Memahami permintaan untuk memberikan kerusi melebihi satu pertiga kepada Sabah dan Sarawak dalam representasi di Dewan Rakyat
EWON YANG SAYA KENAL: PETER
Kecekapan Pengurusan Sumber Manusia Mengatasi Kecuaian Pengambilan Pekerja Berisiko