Dr. Peter Jr. Naintin (5 dari kanan) bersama hadirin lain semasa majlis berkenaan
SANDAKAN: Ketua UPKO Bahagian Libaran Dr. Peter Jr. Naintin memberitahu bahawa ketika menyertai Forum Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Sabah baru-baru ini di KDCA, beliau ada menyuarakan beberapa perkara untuk dipertengahkan kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Ini termasuk mencadangkan agar definisi Orang Asal dapat ditafsir dengan lebih terperinci berdasarkan kriteria-kriteria yang dipersetujui oleh kerajaan dan pemegang taruh.
Isu-isu seperti dokumen palsu dan Pendatang Tanpa Izin (PATI) ini perlu ditangani secara berkesan dengan menarik balik semua kad pengenalan yang telah dikeluarkan di Sabah, membuat penyaringan yang ketat oleh pemegang taruh, dan mengeluarkan semula Kad Pengenalan kepada rakyat dan orang asal Sabah yang layak sahaja seperti yang telah dicadangkan di dalam RCI dan dibentangkan di Parlimen sebelum ini.
Peter yang juga Ahli Majlis Tertingi UPKO menyampaikan berita ini semasa berucap di Majlis Ramah Mesra bersama UPKO Libaran dan ianya mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dari masyarakat di Kampung Sungai Daling, Sungai Manila baru-baru ini.
UPKO sangat bertuah kerana dapat mengambil peranan sekali lagi dalam memperjuangkan hak-hak yang terkandung di dalam MA63 untuk rakyat Sabah. Tidak lama lagi, Tun Mahathir, Perdana Menteri kita akan mengumumkan sebahagian daripada isu-isu yang dibincangkan pada perasmian Hari Malaysia di Kuching pada tahun ini, katanya lagi.
Menurut Peter, UPKO merupakan salah satu parti politik yang konsisten dengan pendiriannya berkenaan MA63 dan isu PATI di Sabah.
Sementara itu, Peter berkata beliau akan menjadi pengantara dan jambatan untuk rakyat di Libaran. Dalam kehidupan ini, beliau mahu berjuang untuk rakyat terutamanya untuk generasi muda mudi.
Kita seharusnya senantiasa bersama dan memahami keperluan rakyat. Ini adalah penting untuk memastikan anak bangsa kita dapat bersama-sama merealisasikan harapan rakyat. Kita memahami bahawa ekonomi rakyat adalah amat penting, tambahnya.
“Dengan itu, kita semua mesti sedar bahawa pendidikan dapat mengubah nasib sesebuah keluarga. Ini bermakna ibubapa perlu memainkan peranan dalam membantu dan memberi semangat kepada anak-anak kita agar senantiasa fokus dalam bidang pendidikan atau pun kemahiran,” kata Peter.
Menurut Peter, Majlis Ramah Mesra ini merupakan program yang pertama seumpamanya dijayakan di Kg Sg Daling di mana semua penduduk setempat dapat bersama-sama dan beramah mesra dengan para pemimpin dari UPKO Libaran.
Antara aktiviti semasa majlis berkenaan ialah penyerahan bantuan buku latihan tambahan sebagai salah satu pemangkin kepada pelajar-pelajar sekolah dari darjah satu sehingga tingkatan lima yang bersekolah di sekitar Sungai Manila. Harapan kami agar bantuan ini dapat memenuhi aspirasi negara dalam usaha memperkembangkan potensi muda mudi kita dalam pembelajaran dan kemahiran diri, kata Peter.
Kata Peter, penyerahan borang ahli baharu seramai 67 orang dari Cawangan Peringkat 4 dan 79 orang dari Cawangan Kg Sungai Daling yang berada dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Manila juga diadakan semasa program.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong