ISU PROVOKASI KAUM PERLU DIBENDUNG : AGONG

KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah menyatakan rasa bimbangnya terhadap perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Ketika bertitah sempena majlis pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14, hari ini, baginda bertitah isu provokasi kaum dan fahaman nilai yang bertentangan dengan adat perlu dibendung sebelum merebak dan menjadi parah.

“Beta menyambut baik Pelan Tindakan Perpaduan Negara bagi memastikan agenda perpaduan nasional boleh diterapkan secara menyeluruh,” titah baginda.

Sementara itu, Baginda juga menyentuh beberapa dasar kerajaan termasuk berkaitan sosial, pertanian, alam sekitar dan pelancongan.

Baginda kemudian bertitah mengenai amalan rasuah dan menggesa kerajaan meneruskan pelaksanaan Pelan Antirasuah Kebangsaan bagi memastikan agenda pembangunan negara tidak dicemari dengan salah guna kuasa.

Baginda juga menggesa agar kerajaan menekankan ke dalam minda masyarakat sejak dari bangku sekolah bahawa rasuah adalah amalan yang menjijikkan dan mesti ditentang.

Sidang Dewan Rakyat yang disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM, hari ini, menyaksikan hanya majlis pembukaan mesyuarat dan mendengar titah diraja diadakan.

Sidang hari ini juga menarik perhatian ramai kerana ia merupakan yang pertama sejak Langkah Sheraton berlangsung dan menyaksikan kemunculan Perikatan Nasional iaitu sebuah gabungan tidak berdaftar bagi menggantikan Pakatan Harapan sebagai kerajaan.

Sidang pertama ini sepatutnya diadakan antara 9 Mac hingga 16 April lalu tetapi ditangguhkan kerana negara berdepan ancaman wabak Covid-19. –http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *