Itali umum kelonggaran tidak pakai mask mulai 28 Jun ini

 Itali antara negara di Eropah yang teruk dilanda pandemik COVID-19 tahun lalu, tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 28 Jun ini, kata Kementerian Kesihatan semalam.

Menteri Kesihatan Itali, Roberto Speranza menerusi kenyataan di Facebook, berkata ia dilakukan di kawasan yang sudah dikategorikan sebagai ‘putih’ di bawah sistem klasifikasi bagi mengesan penyebaran pandemik itu.

Beliau berkata, ia merangkumi semua wilayah Itali kecuali Lembah Aosta di barat laut, negara itu.

Pengumuman Speranza dibuat atas nasihat panel ilmiah Comitato Tecnico Scientifico (CTS), dan menasihatkan orang ramai memakai pelitup muka jika hadir perhimpunan sosial yang besar dan berisiko.

Menjelang 28 Jun ini, pakar kesihatan negara itu meramalkan seluruh Itali akan dikategorikan sebagai zon “putih”, dengan hanya 21 kematian dan 495 kes baru dicatatkan di seluruh negara semalam.

Negara itu mencatatkan 127,291 kematian dan 4.25 juta kes positif COVID-19 sejak pandemik COVID-19 dikesan pada awal tahun lalu.

Setakat ini, seramai 16 juta daripada 60 juta penduduk Itali atau 30 peratus yang berusia lebih 12 tahun sudah menerima suntikan vaksin COVID-19. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *