Itu denda langgar SOP Covid-19 masih tinggi lagi, kata kumpulan hak asasi

Kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty (LFL) berkata, denda kerana melanggar peraturan Covid-19 masih terlalu tinggi, walaupun kerajaan mewujudkan garis panduan baharu berhubung kadar kompaun untuk pelbagai kesalahan, termasuk menawarkan diskaun.

Penyelaras LFL, Zaid Malek berkata, mereka yang didenda tidak memakai pelitup muka atau mengamalkan penjarakan fizikal masih bergantung kepada “belas ihsan” pegawai penguat kuasa dan masih boleh dikenakan denda maksimum RM1,500.

Beliau berkata, jumlah ini masih terlalu tinggi, lebih tinggi daripada gaji minimum semasa.

“Kami menggesa kerajaan berhenti melaksanakan undang-undang tidak efektif, sedikit demi sedikit, tidak mempunyai tujuan jelas serta terlampau membebankan rakyat.

“Walaupun ada keperluan untuk memastikan pematuhan SOP, hukuman perlu setimpal kesalahan itu dan kegagalan berbuat demikian adalah satu penghinaan terhadap Perlembagaan Persekutuan,” katanya memetik Artikel 8 Perlembagaan yang menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang.

Zaid turut membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan yang menolak bantahan terhadap denda RM10,000 itu sebagai “kekeliruan orang ramai”, dengan alasan tiada garis panduan khusus ketika Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 diwartakan.

Katanya, hakikat garis panduan itu diperkenalkan lebih dua minggu selepas ordinan itu diwartakan – dan seminggu selepas ia dikuatkuasakan – menunjukkan undang-undang itu digubal tanpa pertimbangan sewajarnya.

“Mereka yang dikompaun dan membayar kompaun melebihi jumlah dinyatakan dalam SOP pasti berdepan masalah kewangan dan buntu tanpa sebarang bantuan.”

Katanya, proses rayuan untuk kompaun ialah “birokrasi tidak perlu” yang boleh menyebabkan penyalahgunaan dari segi pentadbiran, manakala garis panduan kesalahan “tidak ditakrifkan dengan betul” dan boleh menimbulkan kekeliruan serta ketidaktekalan.

Dua hari lalu, Takiyuddin berkata, kegagalan memakai pelitup muka atau mengamalkan penjarakan fizikal akan dikenakan denda RM1,500 dan bukannya maksimum RM10,000.

Beliau berkata, senarai terperinci kesalahan dan denda itu boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan tidak lama lagi, sambil mendedahkan tiga kategori berlainan pelanggaran SOP.

Beliau turut mengumumkan diskaun untuk pesalah yang membayar kompaun lebih awal, dengan potongan 50% untuk pembayaran denda dalam tujuh hari dan 25% dalam dua minggu.