Itu dia! Saturang lagi kena denda RM5,000 pasal kasi sebar berita palsu di whatsapp

Seorang lagi individu dituduh di Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis selepas mengaku bersalah menyebar berita tidak benar menggunakan aplikasi WhatsApp yang boleh mendatangkan kebimbangan kepada orang awam pada 18 April lalu.

Tertuduh, Norjannah Rusli, 28, merupakan individu kedua didakwa selepas seorang guru tuisyen dituduh di bawah Ordinan Darurat kerana menyebarkan berita palsu.

Norjannah merupakan suri rumah dituduh di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 sejak berkuat kuasa pada 11 Januari lalu.

Ibu kepada dua orang anak yang mengandung 28 minggu itu membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet, menurut laporan Kosmo.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memuat naik status yang merupakan berita palsu di aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas namanya dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Belukar, Arau kira-kira pukul 10.31 pagi, 18 April lalu.

Musyiri kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama lima bulan jika tertuduh gagal membayar denda dikenakan. Bagaimanapun dia membayar denda berkenaan.

Ordinan Darurat mendefinisikan “berita palsu” sebagai berita atau maklumat yang “sepenuhnya atau sebahagiannya” salah berkaitan Covid-19 atau perisytiharan darurat.

Individu yang melakukan, menerbit atau menyebarkan berita palsu akan didenda hingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, serta denda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *