JAKMAS dan PNRF UMS adakan CSR di SK Tambulaong Tuaran

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Non Residen (NR) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tambulaong, di sini, baru-baru ini.

Program dengan kerjasama Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) UMS itu dikendalikan Pelajar NR dengan diketuai Yang Dipertua JAKMAS NR, Muazam Muanam @ Shafie. 

Menurut Muazam, program sehari itu antara lain bertujuan menambah pengetahuan dan pengalaman pelajar UMS berinteraksi dengan masyarakat setempat.

“Di samping itu, program ini juga menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan melalui pelbagai medium dalam kehidupan.

“Ia seiring dengan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) UMS yang pertama iaitu memberi pengalaman berkualiti untuk pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari iniu.

Program tersebut turut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah SK Tambulaong.

Muazam berkata, program itu pada masa yang sama  dilaksanakan untuk memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

“Ia juga merupakan batu asas kepada warganegara prihatin, bertanggungjawab, serta saling bantu membantu tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kita juga sangat berterima kasih atas sambutan mesra dan ceria daripada pelajar, guru-guru dan PIBG sekolah,” katanya.

Bertemakan ‘Siswa Prihatin, Masih Ada yang Sayang’, program itu turut dihadiri Guru Besar SK. Tambulaong Noraida Hj. Lamsari, Pengarah PNRF UMS Hasmi Hashim, dan Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Edwin Lumbating.