Jalan Keningau-Kimanis, Keningau-Tenom ditutup akibat tanah runtuh

KOTA KINABALU: Dua laluan utama menghubungkan kawasan pedalaman negeri ini ditutup hari ini berikutan tanah runtuh yang membahayakan keselamatan pengguna.

Dua laluan terbabit ialah di Kilometer (KM) KM151.950 / 142.250 Jalan Keningau – Tenom dan di KM14.300 Jalan Keningau – Kimanis.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengambil keputusan menutup kedua-dua laluan berkenaan sejak pagi tadi setelah mengambil kira keadaan jalan yang tidak selamat disebabkan tanah runtuh.

JKR Sabah dalam satu kenyataan, berkata penutupan jalan terpaksa dibuat atas faktor keselamatan berikutan kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan berterusan.

Katanya, kerja pemantauan dan penyediaan laluan lencongan di bahu jalan sedang dijalankan, namun penutupan jalan dijangka dilanjut jika keadaan cuaca tidak mengizinkan dan runtuhan masih aktif.

“Penutupan jalan terpaksa dilanjutkan sehingga laluan disahkan selamat untuk digunakan,” katanya.

Berikutan itu, JKR menasihatkan pengguna dari arah ibu negeri ke Tenom supaya menggunakan laluan alternatif Jalan Tenom – Sipitang dengan melalui daerah Sipitang.

Bagi KM14.30 Jalan Keningau- Kimanis, katanya penutupan terpaksa dilakukan berikutan insiden tanah runtuh berserta batu yang masih aktif di laluan berkenaan.

Katanya, laluan alternatif yang boleh digunakan ialah Jalan Kota Kinabalu – Keningau yang melalui daerah Tambunan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan menggunakan laluan alternatif yang disediakan.

“JKR memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama serta kesabaran semua pihak,” katanya.

Sementara itu, banjir di daerah Beaufort turut menjejaskan Jalan Kota Kinabalu – Sindumin, terutama di laluan selepas Jambatan Bukau yang tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) Projek Lebuhraya Pan Borneo Pakej 2 sudah berada di lokasi untuk memantau keadaan banjir dan akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X