JAMILI SETIAUSAHA TETAP BARU KEPKAS

Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Jamili Nais dilantik sebagai Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) yang baru.

Jamili, 54, menggantikan William Baya yang bersara selepas 37 tahun mencurah bakti dalam perkhidmatan awam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, berkata, kehadiran Jamili sebagai SUT di dalam kementerian itu diyakini kerana pengetahuan serta pengalaman dimilikinya.

“Selamat datang ke dalam kementerian ini, saya sangat yakin dengan kehadiran SUT yang baru ini dan saya percaya dia mampu melaksanakan tugasnya dengan baik,” katanya ketika memperkenalkan Jamili kepada kakitangan kementerian berkenaan serta 6 agensi di bawahnya iaitu Lembaga Pelancongan Sabah, Lembaga Kebudayaan Sabah, TTS, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Muzium Sabah dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar.

Christina turut menyaksikan serah terima tugas antara William dengan Jamili dalam satu majlis di pejabat kementerian berkenaan di Wisma Tun Fuad Stephen, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Jamili akui tugas baharunya itu bakal menjadi satu lagi cabaran dalam kerjayanya kerana ia membabitkan tiga portfolio dalam satu kementerian iaitu pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar.

“Lebih-lebih lagi kerana kita mempunyai seorang menteri yang sangat dinamik, apa pun, saya akan berusaha menunaikan kewajipan saya dengan kejujuran dan integriti…itu janji saya kepada anda,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *