JANGAN BUANG MASA SOKONG PEMIMPIN ‘KATAK’

SANDAKAN: Rakyat Sabah tidak perlu membazir masa dan tenaga untuk menyokong pemimpin yang berpolitik katak.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura, Calvin Chong, berkata
pemimpin seperti Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Tan Sri Chong Kah Kiat, Datuk Hajiji Noor, Datuk Seri Anifah Aman, Datuk Seri DR Wee Ka Siong dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah pemimpin yang membudayakan politik katak.

Katanya, mengundi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), MCA dan PAS adalah umpama mengundi Barisan Nasional (BN).

“Akhirnya rakyat yang akan menderita.

“Justeru, rakyat perlu saling bekerjasama dan bersatu hati untuk membasmi budaya politik tidak sihat ini,” katanya.

Calvin berkata, rakyat tidak perlu membazirkan undi untuk pihak yang hanya mementingkan kuasa dan membelakangkan mandat rakyat.

Katanya, budaya katak dalam politik itu menggambarkan integriti dimiliki pemimpin berkenaan dan seperti tidak hormat kepada rakyat yang memilih mereka.

“Rakyat kecewa, marah dan sedih kerana telah memberikan kepercayaan dan telah berjuang bersama sewaktu pilihan raya yang lalu, namun sistem demokrasi dipermainkan sesuka hati.

“Pilihan raya kali ini amat penting kerana 21 parti akan bertanding.

“Sebahagian daripada mereka berkata tidak bersama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana cuba untuk mengelirukan rakyat dan terus menyalahgunakan kuasa mereka,” katanya.

Calvin berkata, pilihan raya negeri adalah peluang rakyat untuk menghukum pemimpin yang telah mengkhianati mandat rakyat.-http://beritasabah.com