JANGAN HANYA BACA TAJUK BERITA DAN MEMBERIKAN ULASAN TIDAK ADIL KEPADA POLISI KERAJAAN

Haris Alimudin, Pengerusi Parti Amanah Negara -Negeri Sabah

SANDAKAN : Pengumuman kerajaan mengecualikan Subsidi Petrol Bersasar di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan harus disambut baik oleh rakyat di negeri ini. Rakyat tidak seharusnya membaca tajuk berita “Tiada Subsidi Petrol Bagi Sabah Dan Sarawak” sahaja dan memberikan ulasan yang tidak adil kepada polisi kerajaan. 

Parti Amanah Negara – Negeri Sabah (AMANAH Sabah) menyatakan bahawa tuduhan yang menyatakan bahawa kerajaan tidak memberikan subsidi petrol bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah salah dan tidak benar. 

Atas keperihatinan kepada rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan,  kerajaan telah memberikan subsidi pukal dengan menetapkan harga petrol RON95 pada RM2.08 bagi wilayah Borneo walaupun harga petrol semasa lebih tinggi. Sebagai contoh, harga semasa petrol adalah RM2. 40, ini bermaksud kerajaan memberikan subsidi RM0.32 seliter bagi rakyat wilayah Borneo.

AMANAH Sabah juga menyatakan bahawa pengecualian subsidi petrol bersasar membolehkan semua rakyat di wilayah Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan terus menikmati subsidi harga minyak tanpa tertakhluk kepada pendapatan dan status penerima BSH.

Pengguna kenderaan berkapasiti tinggi dan diesel di Sabah terus akan menikmati polisi penetapan harga tetap minyak melalui pengecualian ini termasuklah kenderaan komersial dan pengangkutan awam. 

AMANAH Sabah juga menyatakan bot nelayan kecil yang menggunakan petrol dan genset akan terus menikmati harga tetap RM2.08 seliter dan ini sudah tentu membantu nelayan-nelayan kecil dan rakyat di kawasan pedalaman yang bergantung kepada bekalan elektrik melalui genset. 

Pemberian subsidi pukal memberi manfaat lebih besar kepada rakyat Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana ia bersifat menyeluruh berbanding subsidi bersasar yang menghadkan pemberian subsidi kepada penerima BSH yang memiliki kenderaan sahaja dan terhad kepada RM30 bagi kereta dan RM15 kepada motorsikal. 

AMANAH Sabah walaubagaimanapun menyatakan agar kerajaan melalui agensi-agensi mempastikan pengenalan subsidi bersasar di semenanjung Malaysia tidak memberi kesan berantai terutama kepada kenaikan harga barangan kepada rakyat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *