Jangkitan Covid-19 turun kepada 1,307 kes, 5 kematian

Jangkitan harian Covid-19 turun kepada 1,307 kes semalam berbanding 1,639 kes kelmarin.

Sebanyak lima kematian dilaporkan semalam, termasuk satu kematian di luar fasiliti kesihatan (BID), berbanding empat kematian kelmarin.

Menurut data di laman sesawang CovidNow, kes baharu itu terdiri daripada 1,303 kes penularan tempatan dan empat kes import.

Ini menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 meningkat kepada 4,820,197 kes dan 36,317 kematian.

Sehingga tengah malam tadi, terdapat 25,083 kes aktif Covid-19, termasuk 45 pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 36 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes aktif itu, 95.1% atau 23,866 pesakit menjalani kuarantin di rumah, dua kes dirawat di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC), sementara 1,160 orang atau 4.6% menerima rawatan di hospital.

Seramai 1,830 pesakit dilaporkan sembuh.

Satu kluster baharu direkodkan semalam, menjadikan keseluruhannya sebanyak 7,078 kluster, dengan 17 daripadanya masih aktif.