KOTA KINABALU: Lebih 1,000 rakyat Sabah memberi penghormatan terakhir kepada bekas TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Kesembilan, Allahyarham Tun Ahmadshah Abdullah di Masjid Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Hadir sama memberi penghormatan ialah bekas TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-10, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Allahyarham Tun Ahmadshah yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital KPJ Kota Kinabalu pada jam 8.45 malam tadi dibawa ke Masjid Negeri Sabah di Sembulan pada kira-kira jam 10 pagi tadi bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir.
Sejurus selesai penghormatan terakhir, jenazah kemudian disolatkan dengan diimamkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar selepas solat Zohor.
Hadir sama memberi penghormatan terakhir dan menunaikan solat jenazah ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Turut memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan kenamaan lain.
Jenazah Tun Ahmadshah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Inanam Laut untuk pengebumian dan selamat dikebumikan pada jam 2.08 petang tadi.
Berikutan pemergiannya, kerajaan negeri mengumumkan tempoh berkabung sehari dengan bendera Sabah dikibarkan separuh tiang pada hari ini. – Info X

More Stories
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional
UPKO Tuaran Hormati Keputusan Fairuz Bandar, Ucapkan Selamat Maju Jaya