JKNS siasat dakwaan kematian remaja akibat kelemahan diagnosa

PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang menyiasat dakwaan kelemahan diagnosa pegawai perubatan di sebuah hospital kerajaan susulan kematian seorang remaja akibat demam denggi minggu lalu.

Pengarah JKNS, Dr Asits Sanna berkata, siasatan awal berdasarkan rekod perubatan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu mendapati remaja terbabit ke sana pada 25 dan 28 Dis lalu.

“Dia ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuaran pada 11.23 pagi 25 Dis dengan gejala sakit ulu hati dan muntah selama sehari.

“Berdasarkan rekod, pesakit tidak mengadu sebarang gejala lain seperti demam, cirit-birit, sakit dada atau sesak nafas. Pemeriksaan tanda vital semasa menerima rawatan juga stabil dengan bacaan suhu normal,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, pesakit itu diberikan ubat gastrik dan tahan muntah melalui suntikan intravena, sebelum dibenarkan pulang selepas pengawasan lebih kurang sejam di zon pemerhatian dan dinasihatkan segera ke hospital jika gejala bertambah teruk.

Bagaimanapun katanya, pada 8.50 pagi 28 Dis, pesakit ke Unit Kecemasan dan Trauma hospital sama akibat gejala pendarahan dari hidung, demam, muntah-muntah, cirit-birit dan kurang selera makan.

“Pesakit kemudiannya diperiksa pakar perubatan kecemasan di Hospital Tuaran dan disahkan menghidap demam denggi pada kedatangan kali kedua ini.

“Memandangkan keadaan pesakit ketika itu tidak stabil, pesakit dirujuk dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut pada 11.30 pagi hari sama. Namun demikian, pesakit disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi HQE pada hari berikutnya.”

Asits berkata, siasatan menyeluruh dan telus sedang dijalankan untuk mengenal pasti langkah penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti rawatan di Hospital Tuaran yang mempunyai empat pakar, iaitu masing-masing seorang pakar perubatan am dan kecemasan serta dua pakar pediatrik.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan seorang remaja 18 tahun dari Kampung Buleing, Tamparuli meninggal dunia selepas dirujuk Hospital Tuaran ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu pada 29 Dis lalu.

Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau mendakwa remaja itu dibawa ke Hospital Tuaran pada 25 Dis lalu kerana demam panas dan 28 Dis lalu akibat demam panas serta peningkatan suhu badan, di mana dia dibenarkan pulang selepas pemeriksaan atas alasan tidak mengalami sakit teruk.

Keesokannya, beliau berkata, remaja itu ke Hospital Tuaran kali ketiga disebabkan pendarahan gusi dan selepas pemeriksaan, pihak hospital memutuskan dia dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth pada hari sama.

Katanya, pemeriksaan doktor Hospital Queen Elizabeth mendapati remaja itu menghidap demam denggi berdarah menyebabkan keadaan kesihatannya sangat kritikal, sebelum mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian pada hari sama.