Jual gula hingga RM5 sekilo, seorang lelaki kena tahan KPDNHEP di Jalan Lintas

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan seorang lelaki selepas didapati menjalankan aktiviti menjual gula pada harga mencecah RM5 sekilogram.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, lelaki berusia 25 tahun itu didapati memiliki 96 kilogram gula pasir selain beroperasi tanpa lesen yang sah di Jalan Lintas, di sini.

Ketua Pegawai penguat kuasa Pejabat KPDNHEP Tuaran, Saripudin Moleng berkata, serbuan dilakukan hasil aduan awam dan risikan yang dijalankan pasukannya.

Katanya, lelaki tempatan terbabit ditahan selepas disyaki menjual gula tanpa lesen sah yang dikeluarkan KPDNHEP.

“Suspek didapati menjual gula pada harga mencecah RM5 bagi setiap kilogram mengikut lokasi pembeli.

“Selain itu, harga juga dijual melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM2.85,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Saripuddin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek menjual gula itu secara tempahan di sekitar Kota Kinabalu dan Kota Belud.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

“Nilai keseluruhan rampasan melebihi RM12,000 termasuk 96 kilogram gula berjumlah RM273.60,” katanya. – Asia Times