Madius menyerahkan Cek kepada Olivia Muris, pengerusi penganjur Program Fiesta Sahabat yang akan diadakan di Tuaran pada 21 dan 22 Disember, kelihatan sebelah kiri beliau Norashifah dan para pegawai AIM Sabah dan Tuaran
KOTA KINABALU; Jumlah pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Tuaran sudah mencecah RM16 juta setakat Oktober tahun ini.
Hal ini menunjukkan golongan wanita di Tuaran sangat proaktif menyahut seruan Kerajaan Negeri agar membudayakan keusahawanan sebagai salah satu cara meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup.
Timbalan ketua menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata beliau percaya AIM bukan lagi satu organisasi yang asing dalam kalangan wanita di Tuaran kerana ianya sudah sekian lama menjadi salah satu platform untuk membantu wanita untuk mula berkecimpung dalam dunia perniagaan dan keusahawanan bagi memperbaiki ekonomi keluarga.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran menyifatkan jumlah pembiayaan bagi cawangan Tuaran yang telah mencapai 84% daripada peruntukan penuh pinjaman iaitu sebanyak RM 19 juta bagi tahun ini sebagai suatu yang positif kerana ianya memperlihatkan betapa para wanita mempunyai kesedaran tinggi untuk memperbaiki ekonomi keluarga dan keluar daripada kemiskinan.
Madius berkata demikian ketika sesi kunjungan hormat daripada Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Sabah Barat yang diketuai oleh Nurashifah Salleh, Pengurus Besar AIM bagi Wilayah itu.
Sebagai menteri Perdagangan dan Perindustrian, Madius juga meminta agar pihak AIM dapat memberikan kerjasama yang mantap bersama kementeriannya dengan menghantar senarai nama pengusaha hasil keluaran AIM khususnya yang terlibat dalam sektor pembuatan dan pemprosesan.
Menurut Madius, semua pengusaha yang komited dan berpotensi wajar diberikan bantuan agar dapat meningkatkan lagi kualiti dan kebolehpasaran produk yang dihasilkan.
Sementara itu, Norashifah dalam sesi yang sama memaklumkan jumlah peruntukan pinjaman bagi Sabah tahun ini adalah RM279.38 juta dan peruntukkan bagi Tuaran pula telah ditambah kepada RM19juta berbanding RM18 juta pada tahun 2018.
Menurutnya, penambahan suntikan peruntukan Tuaran adalah seiring dengan penambahan jumlah peminjam iaitu seramai 3533 orang berbanding 3004 pada tahun lepas.
Dalam pada itu, Norashifah turut memaklumkan bahawa Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) Tuaran bakal mengadakan Program Fiesta Sahabat pada tarikh 21 dan 22 Disember yang mana akan majlis tersebut akan memberikan penghargaan kepada para Sahabat (peminjam) yang menunjukkan prestasi yang cemerlang.
Turut hadir bersama Norashifah ialah Mohd Zulkamarul Hisam Baharun, Maljada B Tang, Mohd. Idrus Sharif Ekang, Olivia, Rasni Samin dan Noraidah Arbi.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ