PENAMPANG: Pembinaan bangunan kabin rehabilitasi dan tibi Poliklinik Penampang (Klinik Kesihatan Penampang) yang menggunakan peruntukan khas Ahli Parlimen sebanyak RM200,000 kini siap dibina.
Selain bangunan kabin, peruntukan itu juga melibatkan pembinaan anjung menunggu di bangunan Klinik Ibu dan Anak di poliklinik berkenaan.
Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick yang mengadakan lawatan di kawasan projek itu berpuas hati dengan pelaksanaan projek yang disiapkan mengikut jadual.
“Ini antara projek kecil yang dilaksanakan melalui peruntukan khas kawasan Parlimen Penampang. Bagi pihak warga poliklinik dan penduduk Penampang yang datang mendapatkan perkhidmatan di sini, saya ucapkan terima kasih kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri atas peruntukan yang disalurkan.
“Bagaimanapun, masih banyak keperluan di sini yang dilaporkan kepada saya oleh doktor dan matron terutama kelengkapan ujian dan rawatan. Saya akan berbincang dengan rakan sejawat saya Menteri Kesihatan mengenai keperluan-keperluan mustahak di sini.
“Saya yakin dengan pertambahan besar peruntukan kepada Kementerian Kesihatan dalam Belanjawan 2025 membolehkan poliklinik seperti ini dapat dinaik taraf atau ditambah kelengkapan peralatan rawatan yang sangat diperlukan,” katanya.

Menurutnya, semasa lawatan ke poliklinik Penampang pada hujung tahun lalu, pihaknya dimaklumkan mengenai keperluan bangunan kabin untuk digunakan bagi pusat rehabilitasi dan tibi berikutan kesesakan di bangunan sekarang.
Sehubungan itu, beliau mengambil tindakan untuk mendapatkan peruntukan bagi pembinaan bangunan berkenaan yang kini sudah siap.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad