Kalimah Allah: Polis beri amaran ‘jangan turun ke jalan’

Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mahu menganjurkan demonstrasi jalanan dalam isu kalimah Allah susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan larangan penggunaannya kepada orang bukan Islam tidak sah.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, ia termasuk mendakwa pihak berkenaan mengikut peruntukan bersesuaian seperti Akta Hasutan.

“Sekiranya kita tidak hormati keputusan mahkamah maka hancur negara ini dan perlu diingatkan mahkamah diberikan kebebasan membuat keputusan yang difikirkan tepat mengikut perlembagaan.

“Kalau mahu mahkamah buat keputusan mengikut citarasa kita saja tidak adil dan jika masih tidak puas hati buat proses rayuan atau bawa perkara ini ke Parlimen, buatlah undang-undang apapun bukannya ambil langkah turun ke jalan.

“Saya beri nasihat dan amaran agar tidak meneruskan hasrat turun ke jalan tetapi jika masih degil kita akan ambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada termasuk mengikut Akta Hasutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus Lesen Private Pilot’s di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seramai sembilan pegawai kanan berpangkat asisten superintendan dan inspektor menerima pemakaian sayap juruterbang pada majlis itu.

Hamid berkata, daripada mengarahkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal demonstrasi jalanan, lebih baik mereka ditugaskan membantu memutuskan rantaian Covid-19 melalui sekatan jalan raya.

“Tetapi, sekiranya ada pihak ugut turun jalan, saya beri amaran kepada mereka supaya tidak meneruskan hasrat tersebut.

“Kita sedang berjuang dengan Covid-19. FRU pun saya kerah untuk jaga ‘roadblock’, saya tak mahu guna FRU untuk mengawal demonstrasi,” katanya.

Semalam, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii menegaskan, umat Islam sedia turun ke jalan raya sekiranya kerajaan gagal bertindak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Katanya, keputusan itu dibuat susulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dilihat masih gagal mengambil tindakan drastik dengan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah.