LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak berusia 2 tahun maut selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras di Sungai Bangingod, Tungku, di sini, kelmarin.
Walau bagaimanapun kakak mangsa berumur 4 tahun berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga mangsa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku apabila mangsa dikatakan pergi ke sungai bersama kakaknya tanpa disedari nenek mereka yang sedang memetik cili di belakang rumah.
“Siasatan awal mendapati, sebaik terdengar jeritan cucunya, nenek mangsa berusia 49 tahun bersama seorang lagi anak perempuannya terus bergegas ke tepi sungai berkenaan.
“Mereka kemudiannya berjaya menarik kakak mangsa namun gagal menyelamatkan mangsa yang dihanyutkan arus deras,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Beliau berkata, polis yang menerima maklumat kejadian terus mendapatkan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17, Lahad Datu, untuk membantu operasi mencari mangsa.
“Selain itu, operasi mencari dan menyelamat turut dibantu Pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarela Felda Gugusan Sahabat bersama penduduk sekitar,” jelas Rohan.
Beliau memberitahu mangsa akhirnya berjaya ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan mayat mangsa terus dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Rohan berkata, ekoran kejadian itu, polis mendapatkan perintah tahanan reman terhadap nenek mangsa dan kedua ibu bapa mangsa berusia 26 tahun untuk membantu siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016) atas kesalahan membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang munasabah atau cuai.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 terhadap bapa mangsa yang juga warganegara Indonesia,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ