Kapal pukat tunda terbakar hangus di Semporna

Sebuah kapal pukat tunda musnah dalam kebakaran berhampiran Jeti Marin, di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba Atas Air Semporna, PBK I Abdul Kadir Ab. Halalan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada jam 4.05 pagi. 

“Sebaik menerima panggilan itu, seramai lima pegawai dan anggota daripada Balai Bomba Atas Air bersama logistik sebuah kenderaan Bot Kavler bergegas ke lokasi kejadian.

“Selain itu, operasi turut dibantu dengan kekuatan logistik daripada Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, “katanya dalam kenyataannya di sini.  

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukannya melakukan pemadaman api dengan menggunakan sumber air terbuka.

“Kebakaran itu melibatkan sebuah kapal pukat tunda telah musnah keseluruhannya,”katanya

Abdul Kadir berkata, pasukan penyelamat berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 4.59 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.10 pagi tadi.

“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,”katanya – Utusan Borneo