Menteri baharu yang memegang portfolio undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mesti memansuhkan semua rang undang-undang berkaitan Ordinan Darurat apabila Dewan Rakyat bersidang pada 6 Sept, kata seorang peguam.
Surendra Ananth berkata, persoalan sama ada darurat sudah berakhir masih belum terjawab.
“Perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan) tidak menggambarkan tempoh darurat yang tetap. Darurat, pada azalinya, tidak boleh bersifat tetap,” katanya.
Di bawah Perkara 150 (7), Ordinan Darurat yang digubal dalam tempoh darurat sah bagi tempoh enam bulan lagi selepas darurat berakhir pada 1 Ogos, katanya.
Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin memohon pengisytiharan darurat dari 11 Jan hingga 1 Ogos dalam usaha membendung wabak Covid-19.
Bagaimanapun, semasa sidang Dewan Rakyat pada 25 Julai, Takiyuddin Hassan, yang ketika itu menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, Jemaah Menteri telah membatalkan semua EO pada 21 Julai. Ini mencetuskan kritikan Ahli Parlimen pembangkang.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa Wan Junaidi, Ahli Parlimen Santubong, akan memegang portfolio itu dalam pentadbirannya, manakala Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin timbalannya.
Wan Junaidi dan Mas Ermieyati adalah peguam terlatih.
Selain itu, kata Surendra, Wan Junaidi perlu meneruskan pembaharuan yang dimulakan pada era Takiyuddin, terutama berhubung pemisahan peranan pendakwa raya dan peguam negara.
“Beliau harus mengeluarkan laporan jawatankuasa pembaharuan institusi yang dibentuk di bawah Majlis Penasihat Kerajaan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
“Laporan jawatankuasa ini akan menjadi sangat penting dalam menilai pembaharuan yang diperlukan dan bagaimana untuk melaksanakannya. Tiada alasan untuk tidak mengeluarkan laporan ini,” katanya.
Seorang lagi peguam, M Ramachelvam meminta Wan Junaidi menubuhkan sebuah suruhanjaya pembaharuan undang-undang untuk membantu Parlimen mengkaji undang-undang negara.
“Banyak negara Komanwel lain mempunyai suruhanjaya bebas sebegini untuk mengusulkan pembaharuan dan mengemukakan saranan kepada Parlimen. Sudah tiba masanya kita juga memilikinya di sini.
“Pada masa ini, kita ada unit semakan dan pembaharuan undang-undang di bawah Pejabat Peguam Negara,” katanya, sambil menambah bahawa badan tersebut tidak sepatutnya diletakkan bawah Pejabat Peguam Negara.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong