Kasi palsu dokumen, kontraktor kena denda RM36,000 di Mahkamah Khas Rasuah KK

Seorang kontraktor dikenakan denda berjumlah RM36,000 atas tiga kesalahan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender membekalkan makanan.

Menurut Utusan Borneo, Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu ke atas Adam Shah Mohammad, 44, di Mahkamah Khas Rasuah di Kota Kinabalu hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM12,000 bagi setiap pertuduhan (jika gagal bayar dipenjara empat bulan) dengan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM36,000.

Tertuduh mengaku bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan Tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak Ke Asrama Kolej Vokasional Tawau untuk tempoh kontrak dari 1 Mac 2017 hingga 8 Februari 2019.

Dalam pertuduhan pertama, pada 24 November 2016 tertuduh didakwa menggunakan penyata akaun palsu Maybank Islamic atas nama Dayang Enterprise bertarikh 31 Julai 2016 di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh turut didakwa mengemukakan penyata akaun simpanan Maybank Islamic atas nama syarikat yang sama bertarikh 31 Ogos 2016 dan 30 September 2016 untuk mendapatkan tender berkenaan pada tarikh dan tempat yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama untuk ketiga-tiga kesalahan terbabit.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Saharom dan tertuduh diwakili peguam daripada Ram Singh & Co.