Kasi tinggal saja bah PN kalau kamurang kecewa, kata Khalid kepada Umno

Umno tidak boleh mengeluh tentang kekurangan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional, kerana parti itu yang memastikan kerajaan tetap bertahan, kata bekas menteri wilayah persekutuan Khalid Samad.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menuduh Umno bersubahat dalam “konspirasi” untuk mengekalkan kerajaan semasa.

“Sama ada mereka suka atau tidak, Umno adalah sebahagian daripada konspirasi ini. Umno berada dalam kedudukan yang mampu menjatuhkan kerajaan ini dan membawa masuk kerajaan yang lebih bertanggungjawab.

“Mereka bersikap seperti pembangkang, tetapi merekalah yang mendukung kerajaan,” kata beliau.

Khalid berkata sedemikian sebagai respons terhadap kenyataan rakan panelisnya di sebuah forum, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, yang menganjurkan lebih banyak sokongan bipartisan untuk meredakan kekecewaan rakyat Malaysia terhadap kerajaan.

Sharil menyifatkan Khalid sebagai sinis, setelah pengarah komunikasi Amanah itu membuat beberapa komen mengenai Umno.

“Saya suka bekerjasama, tetapi bagaimana nak kerjasama, jika dalam kedudukan ini, (Khalid) masih nak ‘tembak’?” soal Shahril.

“Saya bersikap sinis kerana ada banyak perkara yang menyebabkan saya bersikap sinis,” balas Khalid, merujuk kepada keadaan darurat.

Panel tersebut adalah sebahagian daripada Forum Demokrasi Malaysia, yang dianjurkan oleh Institut Strategi Antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *