Dua cubaan menyeludup dan menjual rokok tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Bn 20 Beluran, dalam dua operasi berasingan di sini, semalam.
Hasil operasi yang dijalankan bermula jam 12.30 tengah hari itu, sebanyak 6,900 kotak rokok seludup berjaya dirampas dan menahan seorang lelaki berusia 40 tahun.
Operasi diketuai Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Bn 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa yang melakukan pemantauan di Kampung Kumbanbangan, Paitan dan Jalan Beluran-Telupid, di sini.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, rampasan pertama membabitkan penahanan sebuah Proton Pesona di Jalan Beluran-Telupid, di sini, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, kenderaan yang dipercayai dalam perjalanan ke Sandakan itu didapati beberapa kotak yang disimpan di sembunyikan di bonet kenderaan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, PGA menemui 192 karton rokok seludup jenama Astro Menthol King dan 198 karton Astro Filter King.
“Jumlah keseluruhan rokok berkenaan ialah sebanyak 78,000 batang yang dianggarkan bernilai RM58,500 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Abduh berkata, suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, dalam operasi sama, PGA turut merampas 3,000 bungkus rokok tanpa cukai dalam operasi di Kampung Kumbanbangan, Paitan, di sini. – Asia Times

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad