KATOLIK RAYA MINGGU PASKA ATAS TALIAN

KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac lalu sememangnya satu cabaran yang sangat menguji kita semua.

Ini kerana, kehidupan seharian yang dilalui setiap hari sejak pelaksanaannya sangat-sangat berbeza dengan apa yang dilalui pada hari-hari biasa, sebelum ini.

Salah satu perkara yang pastinya terbatas berikutan PKP termasuklah acara keagamaan.

Bagi masyarakat Katolik, minggu ini yang dipanggil ‘Minggu Paska’ adalah perayaan terbesar agama berkenaan yang menuntut mereka untuk hadir ke gereja bersembahyang.

Sebentar tadi, perayaan Misa Kudus Khamis Putih yang biasanya disambut oleh himpunan umat Katolik di gereja tidak lagi berjalan seperti biasa di kebanyakan tempat, termasuklah di Sabah.

Ini kerana pelaksanaan PKP juga merangkumi larangan perhimpunan keagamaan, tanpa mengira apa agama pun.

Namun, ia bukanlah penghalang buat penganut Katolik untuk mengikuti perayaan Misa Khamis Putih pada hari ini.

Inisiatif yang dilakukan pihak gereja telah membolehkan semua umatnya sama-sama mengikuti perayaan Misa berkenaan dari kediaman masing-masing.

Di Sabah, kebanyakan gereja di daerah-daerah menyiarkan secara langsung Misa Khamis Putih sama ada menerusi laman Facebook ataupun Youtube.

Mungkin sedikit kekok, tapi pengalaman itu mungkin hadir sekali dalam seumur hidup bukan?

Esok, akan berlangsung lagi perayaan Misa Jumaat Agung ataupun ‘Good Friday’, seterusnya Misa Malam Paska pada Sabtu dan Misa Paska pada Ahad.

Kesemua Misa berkenaan bakal diadakan secara langsung bagi membolehkan semua umat Katolik sama-sama merayakannya daripada rumah./BERITA SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *