Kebajikan pesara terus diberi perhatian

Hashim (tengah) menyampaikan sijil Jasa Mu Dikenang kepada salah seorang penerima (pesara) perkhidmatan awam negeri Sabah.

Oleh Nio James

KOTA KINABALU: Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan berkata, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang kebajikan para pesara kerajaan.

Beliau berkata, Kerajaan juga masih bertanggungjawab membiayai kos perubatan dan rawatan apabila penjawat awam bersara kelak.

“Justeru, kerjasama dan kolaborasi antara Persatuan Pesara Kerajaan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri melalui perkongsian pintar adalah tanda komitmen Kerajaan Negeri kepada pesara kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Jasamu Dikenang Tahun 2019 bagi Daerah Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Papar, di Pacific Sutera Harbour & Resort, disini pada Isnin.

Hashim berkata, dahulu umur bersara adalah 55 tahun, kemudian dinaikkan ke 58 tahun dan sekarang persaraan wajib penjawat awam adalah 60 tahun.

Tetapi di usia 60 tahun, pegawai yang bersara dilihat masih berupaya memberikan perkhidmatan di tahap yang baik dan sihat pada hari terakhir perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau berkata, alam persaraan bukan alam baru yang merupakan penyudah bagi setiap orang yang bergelar penjawat awam.

Katanya, ruang dan peluang terbuka luas untuk setiap pesara menerokai kerjaya lain seperti menceburi bidang perriagaan, menjadi tenaga pengajar sambilan atau aktif dalam kerja sukarela NGO seperti Persatuan Pesara Kerajaan Sabah.

Katanya lagi, pesara yang berkemahiran dan pakar masih boleh memberi khidmat bakti pelbagai acara rasmi negara / kebangsaan dan memberi khidmat nasihat luar negeri, pesara masih aktif bekerja dan dapat memberikan sesuatu kepada negara.

“Saya percaya pesara kita juga boleh melakukan sedemkian.  Apa lagi dengan sokongan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia yang menyatakan bahawa pesara adalah aset untuk negara yang memerlukan perhatian, penghargaan dan penjagaan kebajikan secara berterusan untuk memastikan produktiviti yang berterusan kepada masyarakat,” katanya.

Hashim berkata, lazimnya persaraan dilinat sebagai satu hadiah untuk menikmati semua faedah persaraan setelah sekian lama bekerja keras.  “Mereka yang merancang dengan baik untuk menyambut kehidupan baru ini, ia boleh menjadi “Golden life”.

“Usia bukan penghalang untuk kita memberi sumbangan terhadap kerajaan dan negeri kita bahawa kita perlu sentiasa sihat untuk membolehkan kita terus bekerja.,” katanya.

Beliau memberi contoh Warren Buffet salah seorang yang paling kaya di dunia juga masih memilih untuk bekerja walaupun di usia lewat 80an. “Ini memberi ikhtibar kepada semua penjawat awam”, katanya.