KOTA KINABALU: Barangan keperluan lebih lengkap serta harga berpatutan antara faktor pengguna memilih kedai pemborong dalam membuat persiapan akhir membeli keperluan dapur menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan di kedai pemborong Jetsin mendapati ramai dalam kalangan pelanggannya datang dari daerah-daerah luar Kota Kinabalu semata-mata mahu membuat pembelian bagi persiapan Syawal.
Malahan ada pengunjung sanggup menunggu seawal jam 5.30 pagi di luar pintu utama kedai walaupun premis hanya mula beroperasi pada jam 7 pagi ekoran mahu menjadi pelanggan terawal yang membuat pembelian.
Salah seorang pelanggan, Mariam Dehing, 64, menyatakan dirinya yang menetap di perumahan Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang terletak lebih 20 kilometer dari pusat bandar sanggup datang dari jauh bersama anak lelakinya semata-mata mahu membeli persediaan Hari Raya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berpendapat beliau lebih memilih berbelanja di kedai pemborang terutama ketika musim perayaan ekoran semua senarai barangan yang diperlukan ada dalam satu premis.

“Kita tidak perlu lagi pergi ke pasar dan pasar raya kerana kebanyakan kedai pemborong kini sudah lengkap termasuklah menjual barangan basah seperti ayam, daging lembu mahupun kambing.
“Ini lebih memudahkan dan menyingkatkan masa khususnya untuk mereka yang masih bekerja atau mahu pulang ke kampung halaman,” katanya ketika ditemui sewaktu membeli-belah.
Seorang lagi pelanggan, Ahmad Mohd Akib, 40, berpendapat harga barangan keperluan harian yang dijual di kedai pemborong lebih berpatutan berbanding di pasar raya dan pasar basah.
Menurutnya, keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini pastinya mendorong pembeli mencari lokasi membeli-belah mampu menawarkan harga mampu milik walaupun hanya mempunyai sedikit perbezaan.

“Kelebihan premis pemborong ini mereka mampu menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan.
“Sebagai contoh, saya lihat harga ayam bulat yang di jual di kedai pemborong Jetsin agak berpatutan iaitu RM12.50 sekilogram berbanding di tempat lain.
“Saya lihat harga produk sama apabila ia di pasar basah atau pasar raya terdapat sedikit mahal,” katanya yang menetap di kawasan Sepanggar.
Sementara itu, Pengarah Urusan Jetsin Sdn Bhd, Datuk Koh Chung Jade memaklumkan peningkatan jumlah pelanggan boleh dilihat menjelang minggu ketika Ramadan terutama ketika hujung minggu.

“Waktu ini semua orang seperti berlumba-lumba membeli barang keperluan masing-masing malahan ada juga yang membuat tempahan awal untuk dibawa pulang ke kampung halaman.
“Stok semua barangan basah juga terpaksa ditambah dua hingga toga kali ganda ekoran permintaan pelanggan yang cukup luar biasa.
“Selain itu, kita turut menambah bilangan pekerja di kedai daripada 30 orang kepada 70 orang disebabkan mahu memberi keselesaan buat pelanggan ketika mereka membeli-belah,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ