Pasukan Gerakan Am (PGA) bertindak menangkap dua lelaki selepas berjaya menemui dadah jenis syabu di dalam kenderaan mereka, di Kalabakan.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, DSP Abd.Halim Ahmad berkata pasukannya yang menjalankan tugas di Road Check Point (RCP) Jalan Kalabakan – Sepulut kira-kira jam 3.30 petang menahan sebuah kenderaan untuk diperiksa.
“Hasil pemeriksaan awal, pemandu kenderaan terbabit merupakan lelaki warga tempatan,33, manakala penumpangnya lelaki warga asing,28, memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya dalam kenyataan media di sini.
Beliau berkata pemeriksaan ke atas badan pemandu terbabit berjaya menemui satu kotak hitam yang mengandungi dua paket lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Selain itu, anggota keselamatan turut menjumpai peralatan menghisap dadah di dalam genggaman tangan kiri pemandu manakala penumpangnya pula tidak ditemui sebarang benda salah.
“Kedua-dua suspek dan syabu yang dianggarkan seberat 0.70 gram itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya,”katanya. – Utusan Borneo

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ