SHAH ALAM, 12 Mei — Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa kejatuhan Pakatan Harapan (PH) bukanlah akibat penolakan daripada rakyat.
Sebaliknya, beliau mengatakan bahawa PH jatuh disebabkan oleh tindakan ahli Parlimen yang telah mengkhianati parti tersebut.
“Pada Februari 2020 kerajaan PH jatuh kerana mungkir janji dan pengkhianatan (oleh ahli Parlimen). Rakyat yang menyokong menjadi kecewa dan keliru. Penyokong-penyokong parti dan PH juga menjadi marah.
“PH tidak jatuh melalui rakyat tolak, sebaliknya sejumlah ahli Parlimen khianat dan meninggalkan parti. Pada ketika itu kedudukan PH dan blok pembangkang berjumlah 109 bererti kurang tiga sahaja kedudukan untuk membentuk majoriti mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan, selepas kejatuhan kerajaan ketika itu, PH yang baru dua tahun menerajui negara mengambil pelbagai pendekatan supaya dapat meneruskan kuasa.
“Kita baru menjadi kerajaan selama dua tahun. Tempoh (matang) kerajaan itu (sepatutnya) lima tahun.
“Mood rakyat ketika itu sukar untuk menerima kita mengusahakan untuk mendapat sejumlah sokongan. Bukan satu kerja yang mudah setelah kita usahakan untuk mendapat balik kuasa politik,” katanya.
More Stories
Keputusan SPM diumum 24 April
Lelaki tipu jual beli emas ditahan polis
Tamu Dongongon berwajah baharu apabila siap dinaik taraf April 2026