KOTA KINABALU: Kelab pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), One Health Student Club (OHSC) berjaya menganjurkan program kesedaran mengenai konsep One Health (Satu Kesihatan) dan penyakit zoonotik bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sikuati, Kudat, baru-baru ini.
One Health merupakan konsep holistik yang diwujudkan untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan semua meliputi manusia, haiwan, tumbuhan dan alam sekitar.
Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, penganjuran program tersebut bertujuan meningkatkan tahap kesedaran para pelajar sekolah tentang konsep One Health dan juga masalah penyakit zoonotik.
Katanya, selain itu ia juga bagi memupuk sikap bekerjasama, saling berkomunikasi dan juga kemahiran menyelaras, yang merupakan tunjang kepada konsep One Health.
“Pada masa ini, dianggarkan sebanyak 60 peratus daripada patogen manusia diperoleh daripada spesies haiwan lain. Oleh yang demikian, pendekatan One Health hendaklah digunakan untuk menangani cabaran kesihatan antara manusia, haiwan dengan alam sekitar.
“Selain itu juga, penganjuran ini dilihat dapat meningkatkan lagi kemahiran komunikasi sains dalam kalangan pelajar perubatan UMS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut yang diadakan di Pusat Pendidikan Perubatan Desa UMS, Sikuati yang dihadiri seramai 50 pelajar sekolah.
Sementara itu, Pegawai Veterinar Daerah Kudat, Dr. Noorsyakilah Mohamud berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah menasihatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan penyakit anjing gila memandangkan Sabah sangat berisiko tinggi kerana dikelilingi negara dan negeri yang telah diisytiharkan positif penyakit anjing gila seperti di Indonesia dan Sarawak.
“Risiko kematian disebabkan oleh jangkitan penyakit anjing gila adalah sangat tinggi.
“DVS Sabah akan terus berusaha bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan penyakit rabies dalam kalangan penduduk sentiasa dilaksanakan.
“Orang awam juga dimohon agar mematuhi nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaaan dan pihak berkuasa bagi memastikan Sabah kekal bebas daripada penyakit rabies,” katanya lagi.
Antara pengisian program ialah aktiviti bersama penceramah daripada pelbagai bidang, aktiviti berkumpulan dan yang utama adalah treasure hunt.
Hadir sama, Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Penyelidikan FPSK UMS, Prof. Madya Dr. Syed Sharizman Syed Abd Rahim; Ketua Jabatan Kesihatan Awam UMS, Datuk Dr. Mohd Yusof Ibrahim dan Penolong Pegawai Pendidikan (HEM), Pejabat Pendidikan Daerah Kudat Morsidi Yusof.
More Stories
Projek Menaik Taraf Jalan Bulatan Berungis -Bulatan Mengkabong di peringkat akhir penyediaan rekabentuk: KKR
Bantuan Kewangan RM6.2 juta Kepada Sekolah Dan Badan Keagamaan Bukan Islam Bagi Zon Pedalaman Bawah
Sabah berdepan risiko gangguan elektrik menyeluruh mulai Januari 2025