Kematian sebab Covid-19 limpas 1,000 orang selepas ini hari ada 22 kematian lagi

Kementerian kesihatan melaporkan 2,998 kes Covid-19 dan 22 kematian hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 5,709 kes sembuh dilaporkan dalam tempoh sama, iaitu masih kekal mengatasi jangkitan baharu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya 229,762.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu, 2,991 adalah penularan tempatan manakala tujuh jangkitan di luar negara.

Dengan 22 kematian direkodkan menjadikan angka korban Covid-19 setakat ini melepasi angka 1,000 iaitu 1,005.

Sehingga kini jumlah jangkitan Covid-19 direkodkan dalam negara kini 272,163 kes.

Ketika ini, 41,396 sedang dirawat, dengan 231 di unit rawatan rapi (ICU) dan 115 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Memperincikan kes jangkitan baharu, Hisham berkata Selangor terus melaporkan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,382 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 1,092 kes (79%) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya.

Ini diikuti oleh Johor dengan 436 kes, Negeri Sembilan (233), Kuala Lumpur (226), Sarawak (200), Perak (99), Sabah (94), Pulau Pinang (92), Terengganu (91), Kelantan (72), Kedah (36), Melaka (20), Pahang (14), Putrajaya (dua) dan Labuan (satu), manakala Perlis tidak mecatatkan sebarang kes baharu.

Katanya, sebanyak 103 kes (3.4%) dilaporkan berkaitan kluster-kluster di penjara dan lokap yang membabitkan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (48 kes), Kluster Tembok Bendera (22), Kluster Tembok Tapah (12), Kluster Penjara Seberang Perai (tujuh), Kluster Penjara Sungai Jelok (tujuh), Kluster Tembok Sungai Udang (empat), serta Kluster Penjara Kepayan (satu), Kluster Tembok Mempaga (satu) dan Kluster Matambai (satu).

Berkenaan kes kematian pula, Dr Noor Hisham berkata kesemua 22 kes kematian membabitkan rakyat tempatan.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan lapan kes di Selangor, empat kes di Sabah, tiga kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing dua kes di Sarawak dan Perak, serta satu kes di Negeri Sembilan, Kedah, dan Johor,” katanya.