Kena tapuk dalam bungkusan ikan, cubaan eksport dadah bernilai RM500,000 dipatahkan di KKIA

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 12kg dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) minggu lalu.

Dadah jenis syabu dan ketamin yang disembunyikan di sebalik bungkusan ikan sejuk beku dalam kotak polistirena dirampas kira-kira 5 petang 29 Sept lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Abdullah Jaapar berkata, rampasan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat terdapat bungkusan plastik mencurigakan dan disyaki mengandungi bahan terlarang dalam kotak polistirena ikan sejuk beku untuk tujuan eksport ke luar negara.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 23 bungkusan plastik lutsinar di dalam kotak polistirena sejuk beku terbabit yang berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine serta ketamin.

“Methamphetamine yang dirampas adalah seberat 9.221kg dianggarkan bernilai RM331,956, manakala ketamin pula seberat 3.190kg bernilai RM169,070,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Katanya, ini adalah rampasan kedua tahun ini dengan modus operandi sama, iaitu menggunakan kotak polistirena mengandungi ikan sejuk beku eksport ke luar negara bagi mengaburi pihak berkuasa. Kes pertama ialah cubaan menyeludup 8.66kg dadah bernilai RM404,375 pada 29 Ogos lepas.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan pemilik atau penghantar dadah berkenaan dan buat masa ini belum ada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *