Keningau PKP mulai besok sampai 14 April

Perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan di Keningau, Sabah, bermula esok sehingga 14 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKP selama 14 hari itu susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di daerah terbabit.

“Sebanyak 42 kes telah direkodkan hasil saringan secara bersasar di Kampung Lingkudau yang juga telah dilaksanakan PKPD,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP itu bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar serta mengesan beberapa lagi kontak rapat dan mengawal pergerakan penduduk di daerah itu.

Sementara itu, Ismail berkata, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah ditamatkan bermula esok.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 65 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 26 kes positif telah direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan kluster adalah terkawal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 100 individu ditahan semalam kerana melanggar SOP dan daripada jumlah itu 97 dikompaun serta tiga direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (48), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (27), aktiviti pusat hiburan (12), tidak memakai pelitup muka (11) dan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (2),” katanya.