Kenyataan penuh dibacakan Tan Sri Musa Aman selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga di bangunan DUN Sabah hari ini.
Alhamdulillah
Saya kini telah selamat kembali ke Sabah, demi menunaikan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat, di sebalik keadaan kesihatan serta bertentangan dengan nasihat doktor yang sedang merawat saya.
Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Speaker DUN yang memahami keadaan kesihatan saya serta telah memberi persetujuan untuk saya datang menghadap bagi membolehkan saya memenuhi tanggungjawab selaku Ahli Dewan Undangan Negeri.
Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur dan akan tetap memberikan kerjasama tersebut selagi diperlukan.
Perlu saya tekankan di sini bahawa saya bukanlah seorang pelarian dan tidak sesekali pernah terniat di dalam hati untuk lari daripada pihak berkuasa Malaysia (sebagaimana yang pernah digembar-gemburkan di dalam sosial media selama ini).
Saya telah berada di luar negara atas sebab-sebab kesihatan serta rawatan rapi yang diperlukan dan ini dibuktikan dengan laporan kesihatan daripada para doktor yang merawat saya.
Saya adalah anak peribumi Negeri Sabah yang selama ini telah memberikan khidmat bakti terhadap kawasan DUN yang saya wakili serta negeri Sabah yang saya cintai. Perjuangan dan khidmat kepada rakyat serta negeri ini akan tetap diteruskan dengan sedaya upaya saya. Insya-Allah.
Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak, khususnya para penyokong saya, atas sokongan padu serta doa-doa yang tuan-tuan dan puan-puan berikan selama ini.
Terima kasih.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad