Kerajaan diminta campur tangan terhadap isu kenaikan harga racun dan baja pertanian

Harga racun rumpai, baja dan bahan kimia pertanian yang naik mendadak melebihi jangkaan memerlukan campur tangan kerajaan.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) daerah Kuala Penyu, Tan Sri Wences Angang (gambar) berkata, kerajaan perlu bertindak tegas menangani isu itu memandangkan harga hasil komoditi pertanian kini semakin merundum.

Beliau menggesa kerajaan khususnya kementerian berkaitan tidak harus menerima semua alasan yang sengaja direka oleh pengilang dan pembekal bahan kimia itu melainkan siasatan perlu dijalankan secara telus.

“Ahli-ahli Peladang dan pengusaha kecil pertanian merungut kerana harga bahan kimia itu kini meningkat antara 20 hingga 40 peratus, ” katanya.

Wences berkata, masalah itu, jelas membeban warga peladang yang kini sedang terkesan dengan Covid-19 selain tekanan hasil pertanian yang rendah akibat musim tengkujuh.

Bekas Timbalan Ketua Menteri itu mendakwa, pengeluar dan pembekal kini sedang memanipulasi harga bahan itu dengan mengambil kesempatan akibat dari kekalutan politik negara yang sedang bertarung dengan pandemik COVID-19.

Menurut Wences, kenaikan harga racun rumpai, baja dan bahan kimia pertanian yang melonjak naik melebihi jangkaan tidak harus berlaku ketika negara kini sedang dalam proses pemulihan ekonomi.

Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau yakin Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MITI) lebih prihatin tentang rintihan pengusaha kecil pertanian akibat  lonjakan harga bahan kimia itu di peringkat domestik.

Beliau bimbang jika kerajaan terlepas pandang akibat permainan harga dalam industri pertanian akan menyebabkan kenaikan harga bahan kimia itu kekal pada tahap lebih tinggi.

Menurut Wences, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu serius memantau kenaikan bahan kimia pertanian khususnya di Sabah dan tidak menerima bulat-bulat alasan pengilang dan pembekal yang cuba meraih keuntungan berganda. – Utusan Borneo