KOTA KINABALU: Kerajaan digesa mengharamkan penjualan kimia berbahaya seperti asid sulfurik pekat yang bebas dijual di pasaran negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah mencadangkan kerajaan negeri dan persekutuan perlu segera mengharamkan penjualan asid berbahaya itu di pasaran tempatan.
” Pihak berwajib perlu melihat perkara ini dari sudut negatif dan lesen penjualan asid kimia itu wajar dikaji semula.
” Kita bimbang tindakan kejam menyimbah asid akan menjadi trend sesiapa sahaja yang berniat zalim untuk menyerang mangsa, ” katanya dalam kenyatan hari ini.
Katanya, kebelakangan ini bahan kimia itu sering disalah guna untuk dijadikan senjata mengancam nyawa manusia kerana ia begitu mudah diperolehi tanpa kawalan yang ketat.
Isu asid mendapat perhatian selepas tunggak utama bola sepak kebangsaan, Faizal Halim menjadi mangsa disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya, awal minggu lalu.
Awal bulan ini, seorang penuntut wanita Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) parah selepas disimbah asid oleh rakannya dalam kejadian di Kota Bharu, Kelantan.
Sebelum itu seorang anggota polis melecur di seluruh badan disimbah asid oleh individu tidak dikenali di Kuantan, Pahang.
Sehubungan dengan itu, Masiung berkata, penjualan asid berbahaya itu wajar diharamkan di negara ini, kerana kelak ia akan menjadi ikutan sesiapa sahaja untuk menyerang mangsa termasuk pemimpin.
” Penjualan bahan kimia pekat yang tidak dikawal dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat berpanjangan kepada orang awam untuk tujuan permusuhan, ” jelasnya.
Pengerusi Lembaga Pembanguanan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berkata, penjualan bahan kimia berbahaya seperti sulfurik, hidroklorik dan nitrik pekat begitu mudah dibeli di kedai perkakasan logam atau hardware.
Menurut Masiung, asid pekat itu juga mudah diperolehi menerusi platform e-dagang dengan harga serendah RM50 ke bawah. -SABAH MEDIA
More Stories
KUSKOP komited wujudkan insentif untuk usahawan sabah dan serawak
Premier Sarawak dikurniakan darjah ‘Seri Panglima Darjah Kinabalu’
DBKK laksana program ‘Jom Bayar Kompaun’