Kerajaan Negeri lulus pembinaan Menara Pelancongan di Kudat

Madius (kiri) bersama Pembantu beliau ADUN Tg Kapor Ben Chong (Kanan)  semasa melaksanakan perasmian Festival Kudat 2019 dan Festival Industri Kecil Sabah Peringkat Kudat di Esplanade Sidek.

Oleh Charlie Ranap

KUDAT: Kerajaan negeri telah meluluskan cadangan pembinaan Menara Pelancongan di Bukit Resident di sini dalam usaha menambah produk pelancongan daerah ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembinaannya akan dimulakan tidak lama lagi dan dijangka siap sebelum hujung tahun 2019.

“Saya percaya Menara ini akan menjadi satu lagi produk pelancongan yang terkenal di kudat dan akan memberi impak positif kepada industri pelancongan Sabah,” katanya.

Shafie berkata demikian semasa majlis perasmian Festival Kudat 2019 dan Festival Industri Kecil Sabah Peringkat Kudat di Esplanade Sidek di sini hari ini (Sabtu).

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian dan Perdagangan, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menurut Shafie, Sabah mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM8.3 bilion daripada sektor pelancongan dengan kehadiran 3.9 juta orang pelancong tahun lalu.

Ini menunjukkan bahawa pelancongan dapat membantu merancakkan ekonomi, peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat, sekaligus membantu mempercepatkan pembangunan sesuatu daerah itu, katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Sabah akan sentiasa menonjolkan lebih banyak destinasi baru sebagai tempat tarikan pelancongan memandangkan industri ini penjana pendapatan utama negeri.

Shafie berasa amat bangga melihat penonjolan identiti kebudayaan telah dititikberatkan dalam festival ini.

“Saya percaya, Kudat akan mampu menjadi salah sebuah destinasi pelancongan yang hebat di sebelah utara negeri ini,” katanya.

Ujarnya lagi Kerajaan Sabah akan terus menyokong segala usaha daerah ini untuk tampil sebagai destinasi pelancongan yang hebat di negeri Sabah.

Kekalkan perpaduan kaum dan keamanan

Dalam pada itu, beliau berharap perpaduan antara kaum yang telah terjalin selama ini dapat dikekalkan melalui kepelbagaian kebudayaan antara kita.

“Dalam konteks ini, keamanan, kemakmuran dan kestabilan politik telah meyakinkan para pelabur dan para pelancong luar negara untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama mereka.

“Suka saya tekankan bahawa sebagai Kerajaan, kita sentiasa komited dan akan melipatgandakan lagi usaha supaya perpaduan dan keharmonian yang kita kecapi pada hari ini mampu dipertahankan selamanya,” katanya.

Shafie menyeru agar masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negeri ini bersama-sama dengan kerajaan terus mengekalkan kestabilan politik, keamanan dan kemakmuran demi manfaat bersama.

Apa yang penting, katanya ialah kerjasama, sokongan dan komitmen berterusan dari semua pihak

Ini akan memastikan keikhlasan kerajaan untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat akan dapat dicapai sepenuhnya, katanya.