PUTRAJAYA: Pengguna TikTok, Mohamad Shafiq Abdul Halim yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, baru-baru ini, ditahan agensi itu semalam.
Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki mengesahkan penahanan itu dengan menyatakan Shafiq ditahan mengikut Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan.
“Dia datang ke pejabat setelah dapat arahan kita dan kemudian ditangkap di pejabat SPRM (Putrajaya) semalam, jam 3.30 petang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.
Shafiq dalam kenyataan di Facebook, berkata dakwaan tawaran RM10 juta hanyalah berdasarkan khabar angin semasa di mahkamah, bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menukar kenyataan bagi menganiayai Muhyiddin.
Wan Saiful tidak lagi menjadi ketua penerangan berkuat kuasa semalam selepas peletakan jawatannya diterima Muhyiddin selaku presiden Bersatu.
Dalam pada itu, Azam berkata secara peribadi dakwaan Shafiq itu tidak boleh dimaafkan kerana telah merosakkan reputasi SPRM.
“Kalau nak cakap secara jujurnya, mana saya nak ambik RM10 juta nak bagi kepada Wan Saiful.
“Benda (video) ini tidak boleh dipadamkan. Mana-mana dan rata-rata pun masih lagi mempercayai wujudnya perkara ini,” katanya.
Tambahnya, walaupun Shafiq telah memohon maaf semalam, beliau berasa tindakan itu seperti sengaja mahu dimainkan oleh pengguna TikTok itu.
More Stories
FPL UMS kongsi ilmu ternakan lebah kelulut dan khasiat madu kepada PPK Sandakan
UMS terima kunjungan penanda aras EKSA dari PHKK, UMPSA
MSN 2023 Peringkat Negeri Sabah diadakan pada 24 – 26 Ogos 2023 di UMS