Kereta bertembung menyebabkan seorang maut. Kejadian di Papar

Seorang lelaki maut manakala dua lagi mengalami cedera ringan selepas terbabit kemalangan dua kenderaan yang bertembung di Kampung Safoda, Jalan Papar malam tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.43 malam.

Sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dengan keanggotaan seramai 10 orang bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba di lokasi mendapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda dan van, lapor Sabah360 Online, hari ini.

Terdapat tiga mangsa terlibat, seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba manakala dua lagi mengalami cedera ringan.

Mangsa yang tersepit dikenali sebagai Faisal Lorong, 49, disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dua mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Papar dan Hospital Queen Elizabeth II menggunakan ambulans.

Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.

Operasi ditamatkan pada jam 11.17 malam.