Kereta musnah terbakar, tiada kemalangan jiwa. Kejadian di Tawau

Sebuah kenderaan musnah akibat terbakar di Jalan Tanjung Batu Laut, di Tawau semalam.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8 malam.

“Susulan itu, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi memadam.

“Sebaik tiba, terdapat sebuah kenderaan telah terbakar keseluruhannya dan pasukan bomba bertindak mengawal kawasan berkenaan,” katanya, lapor Utusan Borneo.

Katanya, pasukan bomba menjalankan operasi memadam dengan menggunakan satu aliran daripada sumber air tangki jentera.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan tersebut selamat kepada penduduk yang lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.08 malam.

“Kejadian itu hanya melibatkan kenderaan sahaja, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.